January 16, 2010

Hari khamis menjelang kembali, puasa sunat yang wajib menghiasi hari nan indah ini. Patah riuk, sakit sendi, lenguh badan dan keletihan yang dirasakan akibat perlawanan futsal dan badminton malam tadi menjadi teman setia untuk hari khamis yang ketiga sepanjang kehidupan di Kem Lembah Genting. Syukur, pada pagi ini kami diberikan rehat oleh warden Abang K, tiada sebarang slot diisi kecuali atas inisiatif sendiri, dan inisiatif, peluang dan ruang ini secara jamaienya digunakan untuk melayari bahtera mimpi.
Sesi speaker’s Corner pada hari ini menampilkan, Mursyid sebagai pengerusi, Aiman ( English ), Mawardi ( BM), Helmi ( BM ). Banyak idea dan kreativiti peserta dapat dilihat bagi memberikan persembahan terbaik.

Selesai zohor, Kem Lembah Genting diceriakan dengan kedatangan seorang tokoh yang tidak asing dalam lapangan perjuangan da’wah iaitu Ustaz Alias Othman. Pengisian yang disampaikan berbunyi, ‘Generasi Muda Pelopor Perubahan’. Semangat dan kesungguhan ternyata jelas dalam penyampaian beliau. Antara pesanan yang penting yang dititip beliau ialah “ Jangan sekadar retorika “.




Semangat perlu diiringi dengan perlakuan dan tindakan. Sorakan semata-mata tidak membuahkan apa-apa. Kata-kata keramat yang masih lagi kami ingati teruntai dari mulut Ustaz Alias yang disampaikan dalam bahasa Melayu China ialah,

: “ Gua tak caya sama lu dalam ini kilja (da’wah ) sampai lu dah kawen, ada laki, bini, lu ada anak, lu punya kilja bagus, lu dah punya family, dan lu masih laghi ada dalam ini jallan ( da’wah ). Lepas tu, baru gua bole caya sama lu “.

Tersentak hati-hati ini dalam memikirkan kemampuan dalam meneruskan perjuangan da’wah hingga ke akhir hayat. Bukan mudah untuk istiqomah. Semasa sesi soal jawab, terdapat soalan, “ Ustaz, ustaz, umur dah 68 tapi energy maintain macam orang muda, apa rahsia ? Gelak kecil ustaz mendengar soalan itu. “ “ Kalau kita tolong agama Allah insyaAllah Allah akan bantu. Semuanya kerana rasa tanggungjawab dan amanah untuk Ustaz melaksanakan tugas ini,” jawab Ustaz.


Buka puasa hari ini diceriakan dengan kehadiran bubur lambuk kiriman pak cik mak cik JIM Hulu Selangor. Memang enak buburnya. Masakan peserta pula hanya lauk drummet ayam goreng dan kubis masak lemak.
Malam itu pula, kami dihidangkan dengan ceramah Fiqh daripada Ustaz Anisah tentang Fiqh Toharah dan Solat. Pelbagai isu dan masalah diutarakan oleh para peserta dalam menyelesaikan kekusutan yang dialami. Syukur semua persoalan dapat diselesaikan. Berakhirlah satu lagi hari dengan isian ilmu dan fikrah Islami. Terima kasih buat Ustaz Alias dan isteri kerana memberikan kami inspirasi yang besar dalam memikul sebagai khalifatullah dalam menyebar risalah da’wah. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kalimahMu perlu disebarkan.

0 comments:

Post a Comment