AMARAN :
1. KISAH INI SANGAT SERONOK.
2. KISAH INI MENGGUNAKAN BAHASA LAMA YANG KETERLALUAN, SABAR DAN TEKUN SANGAT DIPERLUKAN BAGI MENIKMATI KEINDAHAN KISAH
Tersebutlah sebuah kisah sekumpulan pemuda serta pemudi 'sekolah kehidupan pembaikan ' berangkat dari Lembah singgahsana Genting menaiki 11 kenderaan diraja menuju ke Serendah untuk menghadiri majlis beramah mesra serta pameran akhlaq mahmudah bersama rakyat asli di Kampung Ulu Melaka.
Seawal 7 pagi putera puteri ini dikerah oleh memanda Khairul untuk bersedia dengan ketibaan kenderaan diraja. 11 kenderaan ini ditaja oleh 'kumpulan pembaikan Malaysia' dari sebuah Hulu di Selangor. Keberangkatan putera dan puteri ini dihiasi dengan pemandangan serta suasana bersih, nyaman dan tenteram cuma dikejutkan dengan kehadiran sang anjing sedang berlegar di merata tempat. Pun begitu kehadiran mereka dirai bagai keluarga oleh rakyat setempat. Ramah mesra serta lapangan berkenalan terjalin sejak awal pertemuan dengan rakyat asli di sana.
Majlis rasmi pembukaan telah dijalankan oleh putera Hamzah Ipoh disusuli dengan simpulan tinta bicara terima kasih serta kisah sang gorilla dan singa oleh putera Akram Seremban. Seterusnya untaian bicara dari Bendahara Pak Cik Arifin selaku YDP 'kumpulan pembaikan Malaysia' Hulu Selangor. Tak cukup dengan itu, Penggerak Rakyat Asli , Puan Sabariah turut berjenaka dalam mengalukan kehadiran putera dan puteri barunya.
Sebaik lapangan berkenalan selesai, maka berangkatlah putera-putera gagah perkasa ke medan perjuangan. Walaupan ibarat telur di hujung tanduk, retak menanti belah, diluah mati anak ditelan mati bapak, namun putera-putera tampan ini tetap tegar menyahut seruan jihad dalam mengatasi kumpulan rakyat asli dalam pertempuran sepak bola.
Pertempuran sangat dahsyat dan menggerunkan, tatkala rakyat asli beraksi dengan semangat jitu dan kepantasan seperti jaguar berbekalkan kaki besi konkrit serta kekuatan Super Power. Putera-putera
'sekolah kehidupan pembaikan' diratah bagai ikan bakar dengan serangan bertali arus, tak pernah putus dari rakyat asli. Namun dek kerana maruah serta sokongan bendahara-bendahara dan tukang adil maka tetap putera-putera bertahan.
Separuh kedua menyaksikan kebangkitan perjuangan putera-putera dalam mengilham serangan. Cubaan-cubaan jarak jauh kerap kali digagalkan oleh tukang jaga gol rakyat asli yang bermain cemerlang. Moral putera-putera terus membakar pabila tukaran pemain berlaku. Dalam kebuluran dan keghairahan mencari gol, gapura gol putera sesekali diasak dengan serangan bola peluru berpandu. Mujur, tukang jaga gol putera dan benteng tahanan yang dipimpin putera Hazmi MRSM Pendang dan Atif Al-Manar tetap berjihad untuk mengelakkan bola peluru berpandu masuk ke gapura gol.
Setelah seketika berjuang, tukang adil mengarahkan perjuangan ditentukan dengan terjahan penalti. 6 tukang terjah dipilih. Terjahan putera Mawardi Nusantara, Basyir Ipoh, Marwan Beseri dan Adib Kedah menemui jaring kegembiraan. Kehebatan diteruskan tatkala tukang jaga Hazmi Pendang meramas 4 terjahan rakyat asli tanpa segan dan gementar. Sorakan takbir dan hamdalah bergema seketika. Tercenganglah bendahara-bendahara dengan kemenangan anak buahnya.
Kisah yang sama sekali berbeza dengan perjuangan puteri-puteri dalam mengkhabarkan perjuangan kebersihan diri kepada si kecil rakyat asli. Layanan terhadap si kecil ditanggung dengan penuh kesabaran terhadap kerenah dan telatah unik. Sesi meramas rambut, sisiran helaian kepala,memansuhkan kutu, pemendekkan kuku serta menyental gigi antara amanah perjuangan yang dipikul dengan semangat jihad.
Al maklum, hidupnya rakyat asli cilik ini dengan suasana berlainan membuatkan puteri-puteri mempelajari strategi memikat perhatian.
Perjuangan diteruskan dengan majlis aneka suka melalui pertempuran menjejaki gula-gula dalam timbunan tepung, memindahkan biskut guna mulut dan tarian ayam. Umpan belon, manisan gula-gula dan jeli memudahkan tugasan.
Sebaik selesai jihad putera dan puteri mereka dijamah santapan golongan diraja oleh rakyat asli. Nasi dan lauk dalam periuk dan kuali buluh ternyata mengilhamkan terkesima yang amat bagi putera puteri 'sekolah kehidupan pembaikan '. Unik dan sangat enak.
Pengembaraan putera tidak terhenti tika itu sahaja, mereka seterusnya dibawa ke terjunan air sungai yang sangat indah dan mempersona. Sejuk dan nyaman bangat. Keindahan terjunan air itu menginspirasi ketakjuban terhadap kuasanya yang Maha Pencipta. Gumbira rasa jiwa semasa mandi bersama teman 'sekolah kehidupan pembaikan'. Syukur padaMu Ilahi.
Tatkala jasad alami penat terlampau, saat itulah putera puteri diusung keluar juga menerusi kenderaan diraja ke Istana Kumpulan Pembaikan Malaysia Hulu Selangor di Serendah. Istana yang baru dibaikpulih ternyata memang selesa dan indah sekali. Petang itu masa jasad direhatkan lalu putera-putera gagah beradu dengan nikmatnya.
Selesai perhambaan Maghrib, putera puteri dijamah dengan masakan diraja yang sekali lagi ditaja oleh pihak Istana. Memang suka rasa hati, sudahlah menumpang beradu, dijamah pula dengan hidangan briyani daging.
Tatkal jam mengisyaratkan 9.30 satu 'taman syurga' disiapkan buat putera puteri. Majlis dikendali oleh sang alim, Pak Cik Roslan Muhamad. Ternyata taman syurga ini sangat menguja dan terasa hebat kerana penyampaian yang lucu, penuh ilmu dan kesedaran hakikat dunya dan hidup. Sesi ini membuatkan putera puteri seolah diketuk dengan hakikat yang putera puteri sama sekali ambil lewa.
Hari ini tidak ditutup sekadar itu sahaja, dengan kemurahan hati dan baiknya budi memanda Khairul, putera-putera dihidangkan dengan pertunjukan sepak bola di warong yang hampir iaitu antara pasukan Meriam dan Selamanya Ton. Pelepasan hingga jam 3 diguna dengan cermat.
Sementelahan penatnya, putera pun masuk beradu dengan jutaan indahnya pengalaman yang tak bisa dilupakan. '" Ribuan pun bukan, jutaan pun bukan. Haa, infiniti terima kasih buat bendahara JIM Hulu Selangor atas jasa dan pengorbanan kalian "', kata putera puteri ' sekolah kehidupan pembaikan; sebelum melelapkan mata.
January 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
salam,
woooo... powernya 'atif!!! kehkehkeh
sungguh terhibur membaca coretan ni. Terima kasih memanda-memandi & bendahara -bendahari.... moga putera-puteri memperoleh banyak menfaat dari outing hingga ke jam 3 ni!!
next,pastikan cerita-ceriti seterusnya ada juga dalam bahasa Inglisi....
wah... tahniah!! tingginya bahasa.. tak terkata abg iqbal membacanya.. post plg menarik setakat ni.. abg sangat sedih tak dapat bersama kalian di mhi kerana sibuk dek dihambat pelbagai tanggungjawab dan tugasan lain.. mintak maaf ye.. =(
syukur post ini dihargai. tq buat semua. mak cik wan, atif sememangnya terrer. english post akan di hantar tak lama lagi insyAllah,. mohon doa semua supaya terus sokong blog ini.
Post a Comment